Thursday, January 19, 2017

Bayi taknak diletakkan?

Alhamdulillah, bayi saya sekarang ni tengah tidur nyenyak seorang diri. Sudah sejam lebih. Lama dah tu bagi dia yang suka sangat nak berkepit dengan saya. Jadi dapatlah masak tengahari dan buat kerja lain-lain.

Semalam 2 hari memang langsung dia taknak diletakkan, pasti meraung. Kat pangku dah tidur, bila letak saja terus bunyi. Dari pagi ke petang, bawak ke malam. Tapi dia bukan selalu macam ni, rasanya mungkin perut dia kurang selesa.

Memang biasa bagi dia untuk membuang setiap hari. Tapi 2 hari lepas, hanya sedikit sangat yang keluar. Macam tak habis. Tapi taklah perut dia kembung. Saya pun selalu sapu minyak bayi setiap kali tukar lampin.
Malam tadi dan pagi tadi dia telah membuang air besar dengan jayanya. Jadi agaknya perut dah baik, perangai berkepit pun berjaya dikawal. Alhamdulillah.

Ibu-ibu lain ada hadapi masalah yang sama tak? Puas duk ulit bayi, kadang-kadang tu dah dekat sejam lena kat pangku, bila letak saja, terus mata bulat duk tengok kita. Kalau ditinggalkan juga, apalagi raunglah dia.

Jadi nak buat macam mana?

PERTAMA: SEDIAKAN ELEMEN MENTENTERAMKAN

1. Bedung : untuk sensasi rasa hangat pelukan berpanjangan.
Tapi tengok bayi juga. Kalau anak saya yang ketiga ni, kalau dibedung lagi dia terjaga dan langsung sudah tidak mahu tidur.
Cara lain adalah untuk meletakkan bantal-bantal di kiri kanan bayi untuk bagi rasa kemas seolah-olah kita masih bersama dia.

2. Hayunan: tiada ibu yang mampu untuk tidak terdodoi atau menggoyang bayi setiap kali memegang atau mendukung bayi bukan? Malah bayi sudah biasa merasa bagai dihayun setiap kali ibu bergerak semasa didalam kandungan. Maka bila ibu sudah tak boleh mendodoi, buaian adalah gantinya. Ingat,hanya buai boleh laras penuh sahaja yang di benarkan standard antarabangsa.
Pastikan anda sentiasa memerhati. Dan tiada anak-anak kecil lain yang boleh membahayakan bayi.

3. Bunyian mententeramkan (white noise):
Pasanglah white noise sebagai ganti kerana bayi sudah terlalu biasa mendengar degup jantung ibu,aliran darah ibu serta gerakan organ pencernaan ibu. Senyap sunyi itu merimaskan bayi!.
Pasanglah zikir-zikir atau ayat suci al-Quran.

KEDUA: LATIH ANAK LENA DENGAN SENDIRI

Kita sebagai ibubapa sudah tentunya tidak mahu anak kita terus bergantung kepada alat bantuan atau bantuan kita untuk boleh tidur, kekal lena dan untukt tidur semula jika terjaga akibat gangguan kecil.

Jadi, bermula usia sekitar 3 bulan, mula amalkan teknik ' sleep-awake'. Teknik ini bertujuan memberi peluang kepada anak untuk belajar lena dengan sendiri atau dalam erti kata lain meningkatkan kemahiran menenangkan diri sendiri anak.

Bagaimana caranya?
LETAK BAYI ANDA KETIKA DIA SUDAH TERLELAP ATAU MAMAI TETAPI BELUM LENA SEPENUHNYA.
Biarkan bayi melengkapkan lenanya sendiri diatas tilam/katil.

Maksudnya, jika sebelum ini anak sudah terbiasa lena didada ibu, dibuai atau di atas lengan ibu,maka tukar langkah ini.

Contohnya,susukan anak seperti biasa. Sejurus anak memperlahankan hisapan dan mula terlelap tapi belum lena, cabut puting anda dengan perlahan dan letak anak dibawah.

Ya, anak berkemungkinan besar akan mula terjaga dan memprotes. Ia hal yang biasa. Tandanya anak bijak kerana sedar dengan peralihan. Namun, jangan terus mengangkat anak. Tepuk-tepuk punggung atau usap belakangnya atau buat bunyi 'ssh' dan lihat jika anak mampu terlelap kembali.

Jika selepas beberapa minit tiada tanda anak mampu terlena kembali, boleh angkat dan tenangkan anak dengan cara biasa. Setelah anak tenang dan kembali terlelap, ulang semula langkah meletak anak ke bawah. Ulang langkah ini beberapa kali pada setiap kali anak ingin tidur.

Ia mungkin ambil sedikit masa sebelum anak mampu menerima perubahan cara tidur ini namun ingatlah, tiada masa lain yang lebih sesuai untuk melatih anak lena sendiri selain ketika mamai ini kerana peluang besar untuk anak makin memendekkan protesnya kerana sudah terlalu mengantuk.

Bagaimana jika anda tersasar: meletak anak ketika dia telah pun lena? . Ketika inilah anda perlu ganggu anak sedikit dengan mencium, menggaru tapak kakinya, mengalihkan posisi badannya dan sebagainya cukup sekadar untuk anak tersedar dalam mamai dan bukan hingga sedar sepenuhnya. Lihat jika anak mampu lena kembali setelah terganggu dari tidur.

Pada akhirnya,kita mahu situasi terakhir yang anak ingat sebelum lena ialah dia berada diatas tilam/katil. Ini supaya bila dia terjaga ketika fasa light sleep (peralihan waktu tidur dimana manusia akan mengubah posisi tidur, mencelik mata sebentar atau membetulkan selimut) , dia tidak panik bila menyedari dia diatas katil/tilam dan bukannya didada ibu,buaian atau dalam pelukan ibu.

Langkah kedua ni saya tengah praktikkan pada bayi 3 bulan saya. Malam tadi bila dia hampir lena di dada saya selepas menyusu, saya letakkan dia di atas tilam. Dengan mudahnya dia terus bangun. Bila saya biarkan, dia mula meraung-raung. Setelah beberapa minit masih meraung, saya susukan sambil baring bersama-sama, bila dia dah hampir lelap, saya hentikan menyusu dan tepuk-tepuk. Alhamdulillah lena sampai masa menyusu.

Harini pulak, saya buat benda yang sama. Menyusu dan hentikan semasa bayi masih mamai. Bila saya letak di tilam, bayi masih terjaga. Bila dia menangis, saya baring di tepi dan buat-buat tidur. Akhirnya dia pun terlelap sendiri.

Anak kita bijak-bijak, jadi nak kena sesuaikan dengan dia dan masa.
Selamat mencuba.

Credit: baby languange

Salam sayang dari Mommy anak 3,
Norhayati Yusoff
Shaklee ID 1230244
Tel: 019.226.7990
FB page: Klinik Mommy (@momisense)
FB: Hayati NY

No comments:

Post a Comment